Monday, March 25, 2013

Ku Li Serik Bekerjasama Dengan PAS


Ku Li Serik Bekerjasama Dengan PAS

Walaupun pernah disebut-sebut sebagai tokoh kompromi untuk menjadi Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) andainya pakatan pembangkang tidak boleh bersetuju calon dalam kalangan mereka, Tengku Razaleigh Hamzah berkemungkinan besar menolak tawaran itu kerana tidak dapat melupakan pengkhianatan yang dilakukan PAS ketika bersekutu dengan parti pimpinannya, Parti Melayu Semangat 46 (Semangat 46) dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU) kira-kira 20 tahun lalu.

Berdasarkan pengalamannya dan senario politik semasa, prospek Ku Li untuk keluar UMNO dan bertanding sebagai calon pembangkang atau Bebas dalam PRU-13 juga amat tipis.

Andainya nasihat beliau diminta, Ku Li pasti ada tiga perkara untuk diberitahu kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP – sekutu PAS dalam pakatan pembangkang.

Pertama, nawaitu pemimpin PAS boleh dipertikai. Walaupun PAS menerima Islam dan addin sebagai slogan parti, ia tidak berani menandatangani perjanjian untuk menegakkannya.

Persetujuan PAS dengan Semangat 46 untuk menegakkan cara hidup dan hukum Islam hanya secara lisan saja. Ku Li yakin PAS tidak mahu dokumen hitam putih kerana ‘mereka berniat untuk menikam kita kemudian hari’.

Kedua, PAS tidak boleh dipercayai. Dalam PRU 1990, PAS meletakkan calon untuk bertanding tiga penjuru di beberapa tempat yang dipersetujui untuk ditandingi oleh Semangat 46. Contohnya, PAS meletak calon tajaannya di DUN Serada di Parlimen Marang (kawasan Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden PAS ketika itu).
Pendam perasaan

Kata Ku Li, beliau terpaksa memendam perasaan demi menjaga perpaduan walaupun perit dan tahu PAS selalu berbohong dan mungkir janji. “Dalam PRU 1995, pencabulan PAS lebih besar. Lagi banyak kawasan berlaku pertandingan tiga penjuru,” kata Ahli Parlimen Gua Musang itu.

Ketiga, perangai PAS yang menikam kawan. Selepas mengetahui keputusan PRU 1990, PAS secara angkuh dan sombong terus menghadap Sultan Kelantan untuk menyembahkan barisan EXCO tanpa berunding atau merujuk kepada Semangat 46.

Tinggalkan kawan

“Baru dapat sedikit kuasa, mereka mabuk dan tinggalkan kawan.” Akibatnya, beliau terpaksa menghadapi kritikan daripada pengikutnya.

“Saya dikatakan lemah, mudah tunduk kepada PAS. Masa itu, saya mengalah sementara waktu, bukan kerana lemah tetapi kerana utamakan perpaduan. Saya tidak mahu dituduh berjuang kerana jawatan atau kepentingan diri, selain menaruh harapan PAS berpegang kepada prinsip kejujuran, keikhlasan dan amanah dalam persahabatan,” jelasnya.

Kemuncak kebaculan PAS, menurut Ku Li, ialah dolak-dalik dalam soal penyatuan dan masa depan Melayu-Islam. Dalam satu mesyuarat di rumahnya pada 19 Jun 1995, Ku Li memaklumkan kepada pucuk pimpinan PAS hasratnya berjumpa Tun Dr Mahathir Mohamad bagi tujuan itu.

Mereka yang hadir termasuk Datuk Fadzil Noor, Datuk Mustafa Ali, Datuk Dr Harun Taib, Hassan Shukri, Dr Sanusi Daeng Mariok dan Abdul Halim Arshad. Ada pemimpin PAS yang bersetuju dan menggalakkan cadangan itu, malah ada yang ghairah untuk turut serta berjumpa Perdana Menteri dan Presiden UMNO itu.

Tuduh curang

“Apabila pertemuan dengan Dr Mahathir diadakan (pada 14 April 1996), mereka melatah dan tuduh saya curang. Tidak ada seorang pun yang hadir dalam perjumpaan di rumah saya itu berani tampil membetulkan keadaan,” keluh Ku Li.

Dalam muktamarnya tahun itu, PAS mengambil keputusan memutuskan hubungan dengan Semangat 46.

“Inilah cara PAS berkawan. PAS bercerai dengan kami bukan kerana Islam. Tiada alasan keislaman PAS bermusuh dengan kami kerana semua cadangan PAS berkaitan Islam kita sokong. PAS berpisah dengan kami semata-mata kerana kuasa.”

Dari Fb Asmah Karamin Askara


No comments:

Post a Comment