Thursday, April 11, 2013

"KAMI MEMANG BERPECAH.." - PENGAKUAN NAIB PENGERUSI DAP JOHOR.




Semakin menghampiri tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) semakin jelas perpecahan berlaku dalam kalangan anggota DAP Johor yang dipimpin Dr Boo Cheng Hau.

Pekung yang cuba disembunyikan selama ini semakin tidak dapat dilindungi lagi apabila Naib Pengerusi DAP negeri, Ong Kow Meng sendiri mengakui memang berlaku perpecahan dalam parti itu di Johor.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat balas yang diterima, memang terdapat pemimpin dan anggota parti tidak lagi menyukai kepimpinan Dr Boo, sehingga mencetuskan sikap berpuak-puak dalam parti.
"Sehubungan itu Dr Boo perlu mengotakan janji yang dibuatnya pada mesyuarat jawatankuasa negeri pada 17 April lalu untuk melepaskan jawatan sebagai pengerusi selepas pilihan raya.

"Jika beliau tidak berbuat demikian, kita tidak akan teragak-agak untuk berkempen bagi menggesa anggota parti supaya tidak mencalonkannya bertanding pada pemilihan kepimpinan DAP Johor Oktober depan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Katanya, pengunduran Dr Boo dapat menangani masalah perpecahan yang berlaku, selain mempererat lagi hubungan antara DAP negeri dan DAP pusat.

Pada masa yang sama, beliau turut berharap pengganti Dr Boo kelak seorang yang fleksibel dan mampu bertolak ansur.
Pertelagahan antara Ong dengan bosnya itu bukan satu perkara baru apabila beliau dan 16 cawangan parti itu bersama-sama mengemukakan undi tidak percaya terhadap ADUN Skudai terbabit.

Dr Boo pula pernah mengeluarkan kenyataan kepada akhbar berbahasa Cina di negeri ini bahawa beliau mencabar ADUN Senai itu bertanding merebut jawatan disandangnya pada pemilihan parti akan datang.

Pada sidang media yang sama Ong turut meminta anggota parti supaya akur dan menyokong siapa juga yang dipilih menjadi calon untuk bertanding pada pilihan raya umum nanti.

Katanya, keputusan pucuk kepimpinan melepaskan Parlimen Segamat kepada PKR untuk ditandingi Pengerusi PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng, seharusnya dihormati bagi mengekalkan kesepakatan dalam parti.


No comments:

Post a Comment